Friday, June 03, 2011

E.coli Toksik Cetus Wabak Baru

Dari Jerman kini merebak seluruh Eropah babit 17 kematian, 1,500 sakit 

HONG KONG: Wabak maut E.coli yang berpusat di Jerman dan merebak ke seluruh Eropah dikenal pasti dicetuskan bakteria jenis baru yang bahaya, kata saintis China yang membuat analisis terhadap bakteria berkenaan.

Saintis berkenaan berkata wabak itu sudah membawa maut kepada 17 orang dan menyebabkan lebih 1,500 sakit di sekurang-kurangnya 10 negara Eropah, membawa gen yang menjadikan bakteria itu kebal kepada beberapa jenis antibiotik.


“E.coli ini adalah bakteria jenis baru yang mudah berjangkit dan toksik,” kata saintis di Institut Genomik Beijing di Shenzhen, yang bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Jerman bagi mengenal pasti punca wabak itu. 

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Aphaluck Bhatiasevi, berkata badan itu sedang menanti maklumat lanjut daripada beberapa makmal lain. 

“Jenis bakteria ini tidak pernah dilihat dalam wabak yang dialami sebelum ini,” kata beliau. 

Russia semalam melarang kemasukan sayuran mentah dari Kesatuan Eropah, mencetuskan bantahan Surahanjaya Eropah. 
Moscow sebelum ini melarang kemasukan sayuran dari Jerman dan Sepanyol, selepas pihak berkuasa di Hamburg menyatakan timun dari Sepanyol tercemar dan mencetuskan wabak itu. Pegawai Jerman kemudian memohon maaf kepada Madrid berikutan maklumat itu tidak benar. 

Ketua agensi perlindungan pengguna Russia, Gennady Onishchenko berkata kematian akibat wabak itu menunjukkan undang-undang kesihatan Eropah yang didesak diikuti Moscow tidak berkesan. 

Agensi kawalan penyakit Jerman, Robert Koch Institute (RKI) melaporkan terdapat 365 kes baru E.Coli dan 25 peratus daripadanya membabitkan komplikasi mengancam nyawa dicetuskan sejenis E.coli yang digelar E.coli menghasilkan toksin Shiga (STEC). 

WHO berkata ia sudah dimaklumkan mengenai kes di Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan Britain. – Reuters 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites