Wednesday, January 04, 2012

Perkasa Arah PDRM Ambil Tindakan Pemimpin Hasut Rakyat

 


 


SHAH ALAM – Polis diminta menyiasat dan  mengambil tindakan terhadap kenyataan  berunsur hasutan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali semalam yang  mengajak masyarakat berhimpun secara haram  sempena Kempen Bebaskan Anwar 901.

Permintaan itu dibuat Pertubuhan Pribumi  Perkasa (Perkasa) Selangor dalam lima laporan  polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Dalam laporan itu, Perkasa juga meminta polis  agar mengambil tindakan terhadap mana-mana  pemimpin lain yang turut mengeluarkan kenyataan menghasut rakyat untuk menyertai perhimpunan  haram.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abdullah  Mansor berkata, pihaknya menentang kempen  tersebut termasuklah perhimpunan haram yang dirancang diadakan di Mahkamah Tinggi Jalan  Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini kerana ia  jelas menentang kedaulatan undang-undang serta ketenteraman awam di negara ini.

“Kempen yang ingin diadakan oleh pihak  berkenaan (PKR) dengan mengadakan  perhimpunan haram dilihat berniat jahat,  menghasut rakyat menghina mahkamah, tidak  menghormati kedaulatan undang-undang serta mencetuskan kekacauan di negara ini.

“Justeru, kita mahu pihak berkuasa mengambil  tindakan segera bagi menyekat kempen tersebut  dan perhimpunan haram. Begitu juga dengan mana-mana pemimpin yang mengeluarkan  kenyataan menghasut, tindakan tegas harus  dikenakan,” katanya selepas selesai membuat  laporan polis di sini.

Semalam Azmin dalam portal berita  www.freemalaysiatoday.com menyatakan yang  PKR bertekad mengumpulkan seramai 100,000  penyokong di pekarangan Mahkamah Jalan Duta  pada Isnin ini untuk memberikan sokongan kepada  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Abdullah memberitahu, pihaknya  turut membuat dua laporan polis berhubung  kenyatan Reverend Dr. Eu Hong Seng sebelum ini  yang menyatakan Perkara 153 Perlembagaan  Persekutuan bersifat
‘membuli’ jika ia hanya  melindungi hak sesuatu kumpulan atau pihak.

Katanya, kenyataan Pengerusi Evangelical  Christian Fellowship Nasional (NECF) itu tidak  bertanggungjawab kerana ia bukan hanya mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan  tetapi juga menyuntik semangat perkauman yang  boleh menyemai salah faham serta kebencian di kalangan orang bukan Melayu.

Katanya, Perkara 153 yang membabitkan hak  istimewa orang Melayu dan Bumiputera itu  sebenarnya bukan bersifat membuli kerana kaum  bukan Melayu juga turut mempunyai hak-hak  mereka sebagai warganegara.
“Perkasa Selangor merasakan kenyataan Hong  Seng ini menghasut dan kenyataan seperti ini juga  akan menyebabkan semangat marah, tidak puas  hati akan menular di hati rakyat bukan Melayu  kerana mereka tidak faham dan keliru,” katanya.
 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites